Selasa, Mei 22, 2012

Piala Thomas:Chong Wei Cedera-Malaysia Tewas 2-3 Kepada Denmark

Gambar:hmetro
Nampaknya sekali lagi Chong Wei terpaksa menarik diri ketika sedang beraksi di gelanggang. Kali ini, Chong Wei mengalami kecederaan di buku lali kanan. Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark. Kedua-dua mata disumbangkan oleh pemain perseorangan. Berita berikut di sunting dari hmetro

WUHAN: Malaysia berhadapan laluan sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas setelah tewas 2-3 kepada Denmark di peringkat saingan kumpulan di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, hari ini. Ekoran kekalahan itu, Malaysia berkemungkinan diundi bertemu juara bertahan China pada peringkat suku akhir esok. Kecederaan luar jangkaan perseorangan pertama Datuk Lee Chong Wei dan strategi jurulatih beregu Tan Kim Her yang tidak menjadi, dilihat sebagai penyebab kepada kekalahan pasukan negara itu kepada Denmark.

Chong Wei yang diharapkan untuk meraih mata pertama, terpaksa menarik diri daripada kejohanan apabila beliau mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark Peter Hoeg Gade. Beliau yang meninggalkan venue perlawanan dengan berkerusi roda kini menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di sini dengan ditemani jurulatih Tey Siew Bock.
Percaturan jurulatih Tan untuk memecahkan beregu utama Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tidak menjadi apabila gandingan baru Tan/Hoon Thien How dan Koo/Goh Wei Shem gagal menyumbang sebarang mata.
Meskipun berjaya membawa permainan ke set penentuan, Tan dan Hoon gagal menyaingi aksi bertenaga beregu Denmark Carsten Mogensen/Mathias Boe apabila tewas 21-17, 21-23, 21-11.
Koo dan Goh juga mempamerkan aksi mengecewakan apabila kecundang 21-18, 21-15 di tangan beregu Jonas Rasmussen/Joachim Fischer Nielsen 21-18, 21-15.
Koo yang ditemui selepas perlawanan mengakui kurang serasi dengan pasangan beregunya itu.
"Dari segi mental, kami menyokong satu sama lain tetapi secara taktik, kami tidak. Tak cukup persefahaman antara kami kerana ini pertama kali kami bermain dalam kejohanan," katanya kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk membuat liputan kejohanan badminton berprestij itu.
Jurulatih Tan berkata beregu pertama bermain dengan baik namun tidak mampu mengekalkan persembahan mereka hingga ke akhir perlawanan dan mengakui gandingan beregu kedua itu masih baru.
"Itu adalah sebahagian daripada taktik pasukan. Kalah atau menang itu adalah adat permainan.
"Kalau kita ikut gandingan asal pun belum tentu menang. Sekarang kita perlu lihat ke depan untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Dua mata Malaysia disumbangkan menerusi perseorangan kedua Liew Daren dan perseorangan ketiga Muhammad Hafiz Hashim.
Daren, pemain ranking ke-33 dunia, melakukan kejutan apabila menewaskan perseorangan ke-13 dunia Jan O Jorgensen 21-15, 21-13, manakala Muhammad Hafiz terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Hans-Kristian Vittinghus 17-21, 21-17, 21-19.
Undian untuk suku akhir akan dijalankan di sini lewat malam ini selepas semua perlawanan peringkat kumpulan tamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda yang CUTE..:)
Sila Datang Lagi...