Jumaat, Jun 15, 2012

Punca Jerebu Jun 2012..Angkara Sumatera

Jerebu merentas sempadan jejas kualiti udara Lembah Klang
[http://www.bharian.com.my]


2012/06/15
KUALA LUMPUR: Kemerosotan kualiti udara yang sedang dialami di Lembah Klang dan Perak hari ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan di sini hari ini menjangkakan keadaan jerebu ini akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung.
titik panas
Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh Asean Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lalu. Imej satelit itu juga menunjukkan asap jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Menurut kenyataan itu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11 pagi ini menunjukkan tiga stesen, Kuala Selagor (IPU 131), Pelabuhan Klang (IPU 130) dan Shah Alam (IPU 106) berada pada tahap tidak sihat. Bacaan IPU di Seri Manjung, Perak pula dicatatkan pada tahap sederhana 94.

JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda yang CUTE..:)
Sila Datang Lagi...