Ahad, Jun 10, 2012

Marathon Untuk Muda

Assalamalualaikum dan selamat pagi. Saya nak dedikasikan artikel yang saya jumpa ni, khas untuk suami tercinta. Semoga terus berusaha dan tidak putus asa.


SELEPAS menyertai maraton pertama, Teresa Goh berkata kepada diri sendiri itulah penyertaan pertama dan terakhir dalam sukan tersebut.

Waktu itu apa yang ada dalam fikirannya adalah bukan mudah bagi wanita berusia sepertinya untuk menyelesaikan cabaran berlari lebih dari satu kilometer.

Lagipun sama seperti wanita lain yang sudah bersara, dia ingin menikmati keselesaan hidup tanpa memberi tekanan kepada diri sendiri.

Namun tanggapan bekas pegawai bank itu nyata tidak seperti yang disangkanya sendiri.
Selepas maraton pertama, Teresa umpama 'ketagih' menyertai satu demi satu maraton di dalam dan luar negara.
Sejak kali pertama hingga kini jumlah penyertaannya dalam sukan maraton telah pun mencapai ke angka 29 kali.
Bayangkan itu semua dilakukan oleh nenek berusia 71 tahun selepas dia mula bersara.

Apa pun Teresa mempunyai ceritanya sendiri terhadap 'kegilaan' tersebut.
"Selepas bersara, saya menjalani pemeriksaan kesihatan dan pada ketika itu doktor memberitahu bahawa paras kolesterol saya agak tinggi.
.
"Doktor memberi saya pilihan sama ada untuk makan ubat atau mengubah cara hidup dengan bersenam. Tentu saya memilih untuk bersenam.
"Kebetulan ketika itu bentuk badan saya agak gempal dengan berat sehingga 64 kilogram pada ketinggian yang tidak begitu tinggi.

"Memang saya akui zaman saya bekerja, saya banyak abaikan kesihatan diri, amat jarang melakukan senaman kerana waktu kerja yang padat. Namun itu semua berubah selepas saya mengetahui tahap kesihatan diri.

"Saya mulakan rutin senaman dengan menyertai kelab atlet yang diberi nama Pacesetter Malaysia. Ia satu kelab untuk berlari. Dari situ saya mulakan larian, kalau tidak silap saya pada tahun 2001. Sejak menyertai Pacesetter saya baru sedar bahawa saya boleh berlari.

"Selepas enam bulan menyertai kelab tersebut barulah saya bersedia untuk maraton pertama saya iaitu separuh maraton (half marathon) di Kuala Lumpur," cerita Teresa yang ditemui di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehadirannya di taman tasik itu bagi melakukan latihan untuk acara larian KL Marathon anjuran Standard Chartered yang bakal berlangsung pada 24 Jun nanti.

Sambung Teresa lagi, selepas half marathon pertama itu dia menyertai pula Larian Jambatan Pulau Pinang pada usianya ketika itu mencecah 61 tahun.

"Waktu itu perasaan saya pada sukan ini sudah mula berbeza berbanding penyertaan pertama, saya teruja menanti setiap kali ada pertandingan baru.

" Anak-anak saya juga memberikan galakan penuh, mereka juga aktif dalam sukan.

"Tambah mengejutkan saya paras kolesterol saya juga semakin baik. Ia turun ke paras normal.

"Malah bukan itu sahaja, berat badan saya juga menjadi ideal dengan 50 kilogram. Saya berasa sungguh sihat dan 'muda, " kata Teresa yang terus maraton bagi mencabar diri sendiri.




http://utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda yang CUTE..:)
Sila Datang Lagi...