Sabtu, April 04, 2015

Petua Eratkan Hubungan Suami Isteri

Antara petua untuk eratkan hubungan suami isteri 



1. Ubah sikap
Perkara paling penting adalah setiap pasangan perlu mengubah sikap masing-masing menjadi seorang yang prihatin terhadap masalah orang lain. Dengan cara ini saja dapat mengikis sikap mementingkan diri sendiri. Bagi suami, mereka seharusnya membuang sikap dan ego agar pergaduhan tidak berpanjangan.

2. Memahami perasaan pasangan
Banyak masalah dalam rumah tangga berpunca daripada masalah di tempat kerja, kesihatan, kewangan, isu keluarga kedua pihak dan anak. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting saling berkongsi pendapat serta memahami perasaan pasangan.

3. Suami perlu faham tugas isteri di rumah
Suami perlu memahami penat lelah isteri menguruskan rumah tangga dan anak. Suri rumah adalah ‘kerjaya’ yang sukar dan memenatkan. Untuk itu mereka sepatutnya mampu menjadi kekasih, sahabat serta pendengar setia kepada isteri agar isteri dapat mengadu masalah anak, kisah di tempat kerja, jiran tetangga dan keluarga. Jika ada masa, bantu isteri meringankan beban kerja di rumah.
Ada baiknya suami memberi isteri ‘cuti’ pada hujung minggu. Ketika ini suami boleh menunjukkan kepakaran mereka menguruskan rumah tangga dengan membersihkan rumah dan memasak dengan bantuan anak. Hidangan yang ringkas pun tidak mengapa kerana sumbangan suami itu akan menambah kemanisan dalam rumah tangga.

4. Fahami bahasa badan pasangan
Suami perlu memahami bahasa lisan dan badan isteri. Suami sepatutnya boleh mengagak apakah yang isteri mahukan melalui gerak-geri dan perkataan. Ini kerana kebanyakan wanita suka menggunakan kiasan untuk meluahkan hasrat hati mereka.
Bagi wanita pula, belajarlah untuk berterus terang kerana ia akan memudahkan perbualan. Cuma, gunakan bahasa yang manis supaya permintaan anda dipenuhi atau sekurang-kurangnya dipertimbangkan.
Berterus terang kepada suami bagi memudahkan suami memahami apa yang terbuku di hati. Ini disebabkan kebanyakan lelaki susah untuk mengerti kiasan yang digunakan isteri.

5. Memahami kepayahan suami mencari rezeki
Isteri mesti memahami kepayahan suami mencari nafkah untuk keluarga. Justeru itu, mereka harus menjadi teman yang setia kepada suami. Isteri perlu memahami setiap lelaki mempunyai ego yang tersendiri. Jangan terlalu banyak mempersoalkan kewibawaannya sebagai suami.
Jangan meminta sesuatu di luar kemampuan suami dan hargai pemberiannya walaupun pada pandangan anda ia kurang bermanfaat. Jika tidak suka pun, jangan beri komen negatif kerana ia akan membuatkan suami berhenti memberi hadiah kepada isteri.

6. Untuk suami isteri bekerja
Bagi suami isteri bekerja, tiada istilah siapa suri rumah sebenarnya. Sekiranya pasangan berkemampuan, bolehlah mengambil pembantu untuk meringankan beban kerja di rumah. Tetapi sekiranya tidak mampu, suami isteri perlu bekerjasama di dalam menguruskan rumah tangga.
Biasanya isteri yang lebih banyak melakukan kerja rumah berbanding suami walaupun kedua-duanya berkerja. Saling memahami dalam hubungan suami isteri sangat membantu dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia.

7. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari
Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Tidak kiralah melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas. Kini semakin ramai yang menggunakan media sosial untuk menyatakan rasa sayang dan rindu kepada pasangan. Ini juga cara yang baik. Pasangan akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej itu.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita dan bergurau dengannya
Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun di mana saja. Manfaatkan masa berdua-duaan di dalam kereta untuk mengembalikan kemanisan ketika bercinta dulu.
Anda juga boleh memanfaatkan waktu tersekat dalam kesesakan lalu lintas dengan mendengar rancangan radio berbentuk pendidikan atau keagamaan bagi menambah pengetahuan. Jadi anda ada topik untuk dibincangkan sepanjang perjalanan. Ia juga dapat mengelakkan ‘sindrom suami membisu’ yang berlaku pada pasangan khususnya yang sudah lama mendirikan rumah tangga.

9. Amalkan makan bersama setiap hari
Berbual mesra dan nasihat-menasihati ketika makan. Amalan ini akan menarik hidayah Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami
Ramai suami mengabaikan nafkah disebabkan isteri bekerja dan ada pendapatan sendiri. Ingat, suami yang pemurah menyebabkan rezekinya digandakan oleh Allah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/41272#sthash.H3P7zPoZ.dpuf
http://www.hmetro.com.my/node/41272

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda yang CUTE..:)
Sila Datang Lagi...