Jumaat, Januari 29, 2016

Guru maut akibat disambar petir

SHAH ALAM 29 Jan. - Seorang guru berusia 32 tahun maut setelah disambar petir dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah di Seksyen 11, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, guru itu dikenal pasti sebagai Mohd Farhan Masudi dan mengajar di sebuah sekolah menengah di Tanjong Karang.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa dalam keadaan basah disebabkan hujan lebat dikatakan berteduh bersama-sama lima guru lain di hadapan pintu logam masuk dewan sekolah selepas menjalani aktiviti di padang sekolah.
“Tiba-tiba berlaku petir menyebabkan mangsa yang bersandar pada pintu tersebut rebah dan mengalami cedera parah dari bahagian dada ke kepala dan terus dikejarkan ke Hospital Shah Alam.
“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, dua rakan mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang cuba membantu mangsa turut terkena renjatan dan pengsan di tempat kejadian dan kini dilaporkan stabil.
Shafien berkata, kesemua mangsa berada di sekolah berkenaan bagi menghadiri kursus kejurulatihan bola sepak yang turut disertai 40 guru dari seluruh Selangor.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya. - BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/guru-maut-disambar-petir-dua-rakan-pengsan-1.184776#sthash.o7whLTrY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda yang CUTE..:)
Sila Datang Lagi...